RANG UNDANG-UNDANG
b e r n a m a
Suatu Enakmen bagi memperuntukkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam, peluang untuk akses kepada maklumat yang dibuat oleh setiap jabatan Kerajaan Negeri dan apa-apa perkara lain berkaitan dengannya.
[ ]
DIPERUNDANGKAN oleh Kuasa Undangan Negeri Pulau Pinang seperti yang berikut:
BAHAGIAN I
PERMULAAN
1. Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
(1) Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010.
(2) Enakmen ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta.
2. Tafsiran
(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-
"dokumen" mempunyai erti yang sama seperti yang ditafsirkan di bawah Akta Keterangan 1950 [Akta 56];
"jabatan" ertinya mana-mana jabatan Kerajaan Negeri;
"maklumat" ertinya apa-apa dokumen yang dibuat oleh mana-mana jabatan Kerajaan Negeri tetapi tidak termasuk dokumen-
(a) yang telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88];
(b) yang mengandungi maklumat yang diperolehi-
(i) daripada pihak ketiga dan menyampaikannya boleh menyebabkan satu tindakan pecah kerahsiaan yang boleh didakwa;
(ii) secara rahsia daripada pihak ketiga dan ia mengandungi rahsia perniagaan atau menyampaikannya mungkin, atau berkemungkinan besar boleh, menjejaskan dengan teruk kepentingan komersial atau kewangan pihak ketiga; atau
(iii) secara rahsia daripada negeri atau organisasi antarabangsa yang lain, dan menyampaikannya mungkin, atau berkemungkinan besar boleh, menjejaskan dengan teruk hubungan dengan negeri atau organisasi antarabangsa tersebut;
(c) jika sekiranya dizahirkan ia mungkin, atau berkemungkinan besar boleh-
(i) menjejaskan dengan teruk perumusan atau pembangunan dasar Kerajaan Negeri yang berkesan;
(ii) menggagalkan kejayaan sesuatu dasar Kerajaan Negeri dengan serius, melalui pendedahan dasar itu sebelum sampai masanya;
(iii) menjejaskan dengan teruk pentadbiran mana-mana jabatan atau Kerajaan Negeri;
(iv) menjejaskan dengan teruk pembangunan ekonomi atau keselamatan Kerajaan Negeri;
(v) secara ketaranya menjejaskan proses timbangtelitian mana-mana jabatan dengan menghalang penyediaan nasihat atau pertukaran pendapat yang bebas dan berterus terang; atau
(vi) secara ketaranya menjejaskan keberkesanan tatacara pengujian atau pengauditan yang digunakan oleh mana-mana jabatan; atau
(d) apa-apa dokumen lain yang boleh ditetapkan, dari semasa ke semasa, oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta.
"Pegawai Maklumat" ertinya mana-mana orang yang dilantik di bawah seksyen 3 Enakmen ini.
BAHAGIAN II
PEGAWAI MAKLUMAT
3. Pelantikan Pegawai Maklumat
(1) Pihak Berkuasa Negeri boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik Pegawai Maklumat bagi tiap-tiap jabatan.
(2) Pegawai Maklumat hendaklah mempunyai tanggungjawab yang berikut:
(a) untuk mempertingkatkan amalan yang terbaik berhubung dengan penjagaan, penyimpanan dan pelupusan maklumat di dalam jabatan;
(b) untuk mengadakan latihan kepada jabatan berhubung dengan penjagaan, penyimpanan dan pengurusan permohonan maklumat; dan
(c) untuk berkhidmat sebagai perantara bagi jabatan dalam menerima permohonan dan membantu individu untuk mendapatkan maklumat.
4. Kawalan maklumat
(1) Setiap jabatan mempunyai kawalan ke atas semua maklumat yang dibuat oleh jabatan itu.
(2) Seseorang Pegawai Maklumat adalah berkewajipan untuk menyelenggara maklumat di bawah kawalan jabatannya selaras dengan mana-mana undang-undang bertulis, arahan atau garis panduan.
BAHAGIAN III
AKSES KEPADA MAKLUMAT
5. Akses kepada maklumat
(1) Mana-mana orang boleh diberikan akses kepada maklumat yang dibuat oleh tiap-tiap jabatan.
(2) Jika maklumat yang hendak diakses oleh mana-mana orang terkandung dalam suatu dokumen yang penzahirannya tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis, akses kepada maklumat itu adalah tertakluk kepada undang-undang bertulis itu.
6. Permohonan untuk maklumat
(1) Permohonan untuk mengakses maklumat hendaklah-
(a) dibuat kepada Pegawai Maklumat sesuatu jabatan dalam borang yang ditetapkan yang mengandungi-
(i) nama dan alamat pemohon;
(ii) butiran maklumat itu; dan
(iii) alasan dan maksud permohonan, dan
(b) disertakan dengan fi yang ditetapkan.
(2) Walau apa pun perenggan (1)(a), mana-mana orang yang tidak berupaya, disebabkan oleh buta huruf atau ketidakupayaan, boleh membuat permohonan secara lisan, dan Pegawai Maklumat yang menerima permohonan lisan hendaklah, menjadikannya bertulis dan memberikan sesalinan borang permohonan itu kepada pemohon.
(3) Pegawai Maklumat yang menerima permohonan hendaklah mengaku terima permohonan tersebut dan memberikan sesalinan akuan terima kepada pemohon.
7. Maklum balas permohonan
(1) Setiap Pegawai Maklumat berkenaan hendaklah memberi maklum balas kepada permohonan yang dibuat di bawah seksyen 6 dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh akuan terima permohonan tersebut.
(2) Walau apa pun subseksyen (1), apa-apa permohonan untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan nyawa atau kebebasan seseorang individu, maklum balas hendaklah dibuat dalam tempoh tujuh hari dari tarikh akuan terima permohonan tersebut.
(3) Sekiranya tiada maklum balas dalam masa yang ditetapkan dalam subseksyen (1) atau (2), permohonan tersebut dianggap telah ditolak.
(4) Akses kepada maklumat hendaklah diberikan apabila-
(a) permohonan untuk mengakses maklumat itu telah diluluskan; dan
(b) fi di bawah perenggan 6(1)(b) telah dijelaskan.
8. Penolakan permohonan
(1) Permohonan untuk mengakses maklumat boleh ditolak oleh Pegawai Maklumat jika-
(a) pemohon tidak berhak untuk mengakses maklumat itu; atau
(b) maklumat itu tidak wujud atau bukan di bawah kawalan jabatan itu.
(2) Bagi apa-apa penolakan di bawah subseksyen (1), Pegawai Maklumat hendaklah memaklumkan pemohon secara bertulis dan hendaklah menyatakan alasan penolakan permohonan itu.
9. Rayuan kepada Lembaga Rayuan
Mana-mana pemohon yang terkilan dengan keputusan Pegawai Maklumat bolehlah merayu kepada Lembaga Rayuan dengan mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh dua puluh satu hari selepas dari tarikh penerimaan notis memaklumkan keputusan di bawah subseksyen 8(2).
10. Cara akses kepada maklumat
(1) Akses kepada maklumat bolehlah diberikan secara amnya dalam bentuk atau cara yang paling praktikal oleh jabatan, tertakluk kepada bentuk maklumat itu sendiri, dan-
(a) jika maklumat adalah artikel atau benda yang daripadanya bunyi atau imej visual yang boleh dihasilkan semula, pemohon dibenarkan untuk melihat imej visual atau mendengar bunyi itu; atau
(b) jika maklumat adalah perkataan dalam bentuk rakaman yang boleh dihasilkan semula kepada bentuk bunyi atau perkataan dalam bentuk tulisan trengkas atau kod, jabatan bolehlah menyediakan semula maklumat itu dalam bentuk salinan bertulis.
(2) Jika akses kepada maklumat yang dipohon oleh pemohon-
(a) secara tidak munasabah akan mengganggu operasi jabatan;
(b) menjejaskan pemeliharaan terhadap maklumat atau, setelah mengambil kira fizikal semula jadi maklumat tersebut adalah tidak sesuai; atau
(c) melibatkan pelanggaran hak cipta (selain daripada hak cipta kepunyaan Kerajaan Negeri) yang terkandung dalam maklumat tersebut,
akses tersebut boleh ditolak atau akses dalam bentuk lain boleh diberikan tertakluk kepada subseksyen (1).
(3) Mana-mana orang yang tidak berupaya, disebabkan oleh buta huruf atau ketidakupayaan, untuk mengakses maklumat di dalam bentuk di mana ia disimpan atau disalin, hendaklah diberi pilihan untuk maklumat disampaikan kepadanya dalam bentuk pilihan lain yang boleh diakses olehnya.
11. Maklumat tiada dalam milikan
Mana-mana Pegawai Maklumat yang menerima permohonan dan mendapati bahawa maklumat yang dipohon tiada dalam simpanan jabatan, Pegawai Maklumat itu hendaklah memaklumkan perkara tersebut kepada pemohon secara bertulis.
12. Permohonan yang menyusahkan, tidak munasabah atau berulang
Pegawai Maklumat boleh menolak mana-mana permohonan untuk mengakses maklumat jika ia-
(a) menyusahkan;
(b) tidak munasabah; atau
(c) permohonan yang sama dari orang yang sama dan permohonan itu telah pun dipenuhi.
13. Maklumat peribadi pihak ketiga
(1) Pegawai Maklumat boleh untuk enggan menunjukkan sama ada dia mempunyai maklumat, atau enggan untuk menyampaikan apa-apa maklumat, di mana jika berbuat demikian ia akan melibatkan penzahiran tidak munasabah maklumat peribadi pihak ketiga.
(2) Subseksyen (1) tidak terpakai jika-
(a) pihak ketiga telah memberi persetujuan secara bertulis terhadap penzahiran maklumat itu; atau
(b) pemohon adalah penjaga yang sah kepada pihak ketiga, waris yang sah atau pentadbir yang sah pihak ketiga yang telah meninggal dunia.
BAHAGIAN IV
LEMBAGA RAYUAN
14. Lembaga Rayuan
(1) Bagi maksud Enakmen ini, hendaklah ditubuhkan suatu Lembaga Rayuan.
(2) Pihak Berkuasa Negeri hendaklah, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik-
(a) seorang Pengerusi dan seorang Timbalan Pengerusi bagi Lembaga Rayuan itu, iaitu bekas hakim atau peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi atau bekas anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Malaysia atau yang berpengalaman dari segi kehakiman atau kelayakan dan pengalaman sesuai yang lain; dan
(b) beberapa orang yang layak, tidak melebihi enam orang, yang difikirkan memadai oleh Pihak Berkuasa Negeri, untuk menjadi ahli tambahan Lembaga Rayuan itu.
(3) Seseorang yang dilantik di bawah subseksyen (2) hendaklah, melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan atau mengosongkan jawatannya atau pelantikannya terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah memegang jawatan selama tempoh yang tidak melebihi tiga tahun sebagaimana yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri dalam pemberitahuan pelantikan itu, tetapi layak untuk dilantik semula.
(4) Pihak Berkuasa Negeri boleh membatalkan pelantikan seseorang ahli Lembaga Rayuan tanpa memberi apa-apa sebab baginya.
(5) Apabila Pengerusi tidak dapat menjalankan fungsinya oleh sebab sakit, tidak berada di Malaysia, atau oleh apa-apa sebab lain, Timbalan Pengerusi hendaklah menjalankan fungsi Pengerusi itu; dan pada menjalankan fungsi itu, Timbalan Pengerusi hendaklah, bagi maksud Enakmen ini, disifatkan sebagai Pengerusi Lembaga Rayuan itu.
(6) Apabila timbul suatu keperluan untuk memanggil Lembaga Rayuan bermesyuarat, Pengerusi hendaklah meminta mana-mana dua orang daripada ahli yang dilantik di bawah perenggan (2)(b) supaya berkhidmat dengannya dalam Lembaga Rayuan itu; dan menjadi kewajipan tiap-tiap ahli yang diminta sedemikian, berkhidmat dalam Lembaga Rayuan, melainkan jika dia dikecualikan oleh Pengerusi, atas alasan yang difikirkan munasabah oleh Pengerusi, daripada berkhidmat sedemikian.
(7) Seseorang ahli Lembaga Rayuan yang mempunyai sesuatu kepentingan dalam apa-apa perkara yang ada di hadapan Lembaga Rayuan hendaklah, sebaik sahaja dia sedar akan kepentingannya, menzahirkan fakta dan jenis kepentingan itu kepada Pengerusi dan tidak boleh mengambil bahagian atau bahagian selanjutnya dalam prosiding Lembaga Rayuan itu yang berhubungan dengan perkara itu.
(8) Tiap-tiap penzahiran kepentingan yang dibuat di bawah subseksyen (7) hendaklah direkodkan.
(9) Tiap-tiap keputusan Lembaga Rayuan hendaklah dibuat oleh Pengerusi setelah menimbangkan pendapat dua orang ahli yang lain itu, tetapi dalam membuat keputusan itu Pengerusi tidak terikat untuk bersetuju dengan pendapat dua orang ahli yang lain itu atau salah seorang daripada mereka, tetapi jika Pengerusi tidak bersetuju dengannya, dia hendaklah merekodkan sebab dia tidak bersetuju.
(10) Berkenaan dengan sesuatu rayuan di hadapannya, Lembaga Rayuan-
(a) hendaklah mendengar perayu dan Pegawai Maklumat;
(b) boleh memanggil dan memeriksa saksi;
(c) boleh menghendaki mana-mana orang mengikat dirinya atas sumpah untuk menyatakan yang benar;
(d) boleh memaksa pengemukaan dan penghantar serahan apa-apa dokumen yang difikirkan berkaitan atau material olehnya bagi rayuan itu tetapi tidak boleh termasuk dokumen yang ditolak oleh Pegawai Maklumat itu;
(e) boleh mengesahkan, mengubah atau mengakas perintah atau keputusan yang dirayu; dan
(f) boleh membuat apa-apa perintah sama ada yang diperuntukkan atau tidak oleh, dan yang selaras dengan Enakmen ini.
(11) Tiap-tiap orang yang dipanggil oleh Lembaga Rayuan untuk menghadiri prosiding diwajibkan untuk hadir di tempat dan pada masa yang ditentukan dalam saman itu dan tiap-tiap orang yang dikehendaki oleh Lembaga Rayuan untuk mengemukakan atau menghantar serah apa-apa dokumen kepadanya atau kepada mana-mana pekhidmat awam diwajibkan untuk mengemukakan atau menghantar serah dokumen sedemikian.
(12) Semua saman, notis dan perintah yang dikeluarkan, dibuat, atau diberi di bawah tandatangan Pengerusi hendaklah disifatkan sebagai dikeluarkan, dibuat, atau diberikan oleh Lembaga Rayuan.
(13) Sesuatu perintah yang dibuat oleh Lembaga Rayuan atas suatu rayuan di hadapannya adalah muktamad, tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah, dan hendaklah mengikat semua pihak kepada rayuan itu atau yang terlibat dalam perkara itu.
(14) Bagi maksud Kanun Keseksaan [Akta 574], tiap-tiap ahli Lembaga Rayuan hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam.
(15) Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan bagi tatacara rayuan dan fi yang kena dibayar di bawah Bahagian ini.
(16) Ahli Lembaga Rayuan boleh dibayar elaun sebagaimana yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
BAHAGIAN V
AM
15. Kesalahan
(1) Tiada seseorang pun boleh-
(a) menggunakan maklumat yang diperoleh di bawah Enakmen ini bertentangan dengan alasan dan maksud maklumat itu dipohon; atau
(b) memberikan maklumat palsu dalam borang permohonan di bawah perenggan 6(1)(a).
(2) Mana-mana orang yang melanggar peruntukan subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduaduanya.
16. Pendakwaan
Tiada pendakwaan boleh dimulakan bagi kesalahan di bawah Enakmen ini tanpa keizinan secara bertulis daripada Pendakwa Raya.
17. Peraturan-peraturan
(1) Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat peraturan-peraturan sebagaimana yang perlu atau suai manfaat bagi maksud menguatkuasakan peruntukan Enakmen ini.
(2) Tanpa menjejaskan keluasan kuasa yang diberikan oleh subseksyen (1), peraturan-peraturan boleh dibuat bagi semua atau mana-mana maksud yang berikut:
(a) untuk menetapkan borang dan fi bagi maksud Enakmen ini;
(b) untuk menetapkan tanggungjawab Pegawai Maklumat; atau
(c) untuk memperuntukkan apa-apa perkara lain di bawah Enakmen ini yang dikehendaki atau dibenarkan untuk ditetapkan atau yang perlu atau suai manfaat untuk ditetapkan untuk memberi kuat kuasa kepada Enakmen ini.
HURAIAN
Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat Pulau Pinang ("Enakmen yang dicadangkan") bertujuan untuk memperuntukkan bagi penzahiran maklumat bagi kepentingan awam dan peluang untuk mengakses maklumat yang dibuat oleh setiap jabatan Kerajaan Negeri.
BAHAGIAN I
2. Bahagian I Enakmen yang dicadangkan mengandungi perkara permulaan.
3. Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan kuasa Pihak Berkuasa Negeri untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa Enakmen yang dicadangkan.
4. Fasal 2 mengandungi takrif perkataan yang tertentu yang digunakan dalam Enakmen yang dicadangkan.
BAHAGIAN II
5. Bahagian II Enakmen yang dicadangkan mengadakan peruntukan bagi pelantikan dan tanggungjawab Pegawai Maklumat.
6. Fasal 3 memperuntukkan mengenai pelantikan Pegawai Maklumat bagi tiap-tiap jabatan. Fasal ini juga memperuntukkan tanggungjawab Pegawai Maklumat.
7. Fasal 4 memperuntukkan mengenai kawalan jabatan ke atas maklumat dan kewajipan Pegawai Maklumat untuk menyelenggara maklumat yang berada di bawah kawalan jabatannya.
BAHAGIAN III
8. Bahagian III Enakmen yang dicadangkan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan akses kepada maklumat.
9. Fasal 5 mengadakan peruntukan bagi akses kepada maklumat dalam mana-mana jabatan oleh mana-mana orang dan jika maklumat itu tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis, akses kepada maklumat itu hendaklah tertakluk kepada undang-undang bertulis itu.
10. Fasal 6 mengadakan peruntukan bagi tatacara untuk mengakses maklumat yang termasuk pembayaran fi yang ditetapkan.
11. Fasal 7 mengadakan peruntukan bagi tempoh masa Pegawai Maklumat memberi maklum balas kepada apa-apa permohonan dan tempoh masa yang berlainan ditetapkan sekiranya maklumat melibatkan nyawa atau kebebasan seseorang.
12. Fasal 8 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi keadaan di mana seorang Pegawai Maklumat boleh menolak suatu permohonan di bawah Enakmen yang dicadangkan.
13. Fasal 9 mengadakan peruntukan bagi rayuan yang boleh dibuat kepada Lembaga Rayuan oleh mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan Pegawai Maklumat.
14. Fasal 10 mengadakan peruntukan bagi cara mengakses maklumat.
15. Fasal 11 bertujuan untuk memperuntukkan keadaan jika maklumat tiada dalam simpanan jabatan.
16. Fasal 12 memperuntukkan bahawa Pegawai Maklumat tidak perlu mematuhi apa-apa permohonan yang menyusahkan, tidak munasabah atau berulang.
17. Fasal 13 memberi kuasa kepada Pegawai Maklumat untuk menolak permohonan penzahiran maklumat peribadi pihak ketiga kecuali dalam keadaan tertentu.
BAHAGIAN IV
18. Bahagian IV Enakmen yang dicadangkan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan Lembaga Rayuan.
19. Fasal 14 memperuntukkan bagi penubuhan Lembaga Rayuan dan tatacara yang berhubungan dengannya.
BAHAGIAN V
20. Bahagian V Enakmen yang dicadangkan mengandungi peruntukan am.
21. Fasal 15 bertujuan untuk mengadakan peruntukan mengenai kesalahan dan hukuman di bawah Enakmen yang dicadangkan.
22. Fasal 16 memerlukan keizinan Pendakwa Raya untuk memulakan pendakwaan bagi kesalahan di bawah Enakmen yang dicadangkan.
23. Fasal 17 memperuntukkan kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk membuat peraturan-peraturan di bawah Enakmen yang dicadangkan.
IMPLIKASI KEWANGAN
Rang Undang-Undang ini akan melibatkan Kerajaan dalam perbelanjaan wang tambahan yang amaunnya tidak dapat ditentukan sekarang ini.