CLJ Bulletin 44/2005

CASE OF THE WEEK

Print this page

Criminal Procedure: Sentence - Adequacy - Rape - Appeal by Public Prosecutor - Mitigation and considerations


DI DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR STAR RAYUAN JENAYAH NO: 41-51-2003

ANTARA

PENDAKWA RAYA ... PIHAK MERAYU

DAN

YAHAYA BIN SELAMAN ... PIHAK MENENTANG

ALASAN PENGHAKIMAN

Responden dalam kes ini telah dihadapi dengan pertuduhan di bawah s.354 Kanun Kesiksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang kanak-kanak berumur 3 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatan kanak-kanak tersebut. Responden telah mengaku salah kepada pertuduhan tersebut dan telah juga mengakui fakta kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan termasuk gambar-gambar tempat kejadian, rajah kasar dan laporan pemeriksaan doktor ke atas mangsa. Fakta kes adalah sepertimana berikut:

"Pada 16/10/2002 jam lebih kurang 6.30 petang, pengadu memeriksa kemaluan anaknya, nama Niza Lidiya bt. Helmi, umur 3 tahun, (mangsa) selepas mandi di rumah No. 92-B Kg. Ayer Putih Serdang, Kedah. Mangsa telah mengadu kepada ibunya mengenai kemaluannya yang sakit. Pengadu mengesyaki iaitu datuk mangsa (bapa pengadu) telah melakukan perkara tersebut. Ekoran kejadian tersebut, pengadu membuat laporan Polis sepertimana Serdang report no. 807/02.

Siasatan telah dijalankan oleh C/lnsp. Zakiah bt. Saad, Pegawai Penyiasat IPD Bandar Baharu, mangsa telah dihantar ke Hospital Daerah Kulim untuk pemeriksaan lanjut. Tertuduh telah ditangkap pada 17/10/2002 di rumah tempat kejadian. Hasil soal siasat selanjutnya mendapati kejadian berlaku semasa ibu mangsa berada di bahagian dapur dan mangsa mengikut tertuduh ke dalam sebuah bilik di dalam rumah tersebut.

Tertuduh telah menggunakan jarinya dengan menggosokkan pada kemaluan mangsa sehingga menyebabkan kemaluan mangsa menjadi kemerahan dan terasa sakit. Kejadian tersebut telah disedari setelah ibu mangsa memandikannya (mangsa) dan mengelap pada bahagian sulit tersebut mendapati terdapat kesan kemerahan pada kemaluan mangsa. Hasil pemeriksaan pegawai perubatan, mendapati terdapat kesan merah (labia minora) pada kemaluan mangsa, Ruj: (1011/02) DIM. HK/PRP/LP. Hasil siasatan didapati tertuduh melakukan kesalahan sepertimana pertuduhan."

Majistret yang bijaksana telah mendapati responden bersalah dan telah sabitkannya atas pertuduhan tersebut. Responden yang tidak diwakili oleh peguambela telah merayu kepada Majistret untuk dijatuhkan hukuman ringan kerana dia mengidap sakit jantung serta darah tinggi. Responden telah dihukum penjara 1 hari dan denda RM4,000.00 jika ingkar 2 bulan penjara. Pihak Pendakwa Raya telah tidak berpuas hati dan telah memfailkan rayuan ini. Alasan-alasan pihak Pendakwa Raya tidak berpuashati dengan hukuman dan alasan penghakiman Majistret, dengan ringkas, adalah seperti berikut:

i. Hukuman yang dikenakan terlalu ringan.

ii. Tidak mematuhi peruntukan s.354 Kanun Kesiksaan.

iii. Kesalahan yang serious.

iv. Kesalahan seksual.

v. Mempertimbangkan kedudukan responden melebihi kepentingan awam.

vi. Responden adalah datuk kandung kepada mangsa dan mangsa hanya berumur 3 tahun.

Daripada alasan penghakiman Majistret yang bijaksana berikut, dengan ringkas, merupakan perkara-perkara dalam pertimbangannya:

1. Responden telah mengaku salah

Perkara ini telah diambilkira sebagai meringankan hukuman terhadap responden berasaskan prinsip-prinsip dalam kes R v. Boyd (1980) 2 Cr.App. R (s) 234 dan kes San Soo Kim v. PP [1975] 2 MLJ 135.

2. Maruah responden

Majistret telah menyatakan bahawa "... kes ini bukan sahaja melibatkan maruah mangsa tetapi ia juga melibatkan maruah Tertuduh sendiri.."

3. Umur dan kesihatan responden

Majistret telah mengambilkira bahawa responden semasa hukuman dijatuhkan berusia 64 tahun 10 bulan dan mengidap penyakit jantung dan darah tinggi.

4. Kepentingan awam

Majistret telah merujuk kepada kes PP v. Loo Choon Fatt [1976] 2 MLJ 256 dimana Mahkamah Tinggi telah menyatakan:

"...The correct approach is to strike a balance, as far as possible, between the interest of the public and the interest of the accused..."

Kes PP v. Muthu Subramaniam Seeniservai [2000] 7 CLJ 236 juga telah dirujuk di mana mahkamah memutuskan:

".... The accused should not be made a scapegoat for others because crime has become more rampant in our country. Each case must be viewed from its particular facts and circumstances..."

Majistret telah juga merujuk kepada kes PP v. Khairuddin [1982] untuk menyatakan bahawa Mahkamah mempunyai budibicara untuk bersikap sederhana dengan syarat wujud keadaan-keadaan peringan dan ianya adalah demi kepentingan awam untuk berbuat demikian.

Pada peringkat rayuan mahkamah akan hanya campur tangan atau menggantikan hukuman yang telah dikenakan oleh Mahkamah Majistret apabila didapati bahawa Mahkamah Majistret telah tersilap daripada segi prinsip dalam menjatuhkan hukuman yang dikenakan. Antara keadaannya ialah: hukuman yang nyata terlalu ringan atau terlalu berat; kegagalan mengambilkira faktor-faktor yang relevan sama ada menyebelahi tertuduh atau sebaliknya; dan keadilan nyata tidak dilakukan. Setelah meneliti alasan penghakiman Majistret saya dapati bahawa ada beberapa perkara yang relevan daripada segi prinsip dalam kes ini yang salah dipertimbangkan oleh Majistret yang bijaksana.

Pertama adalah mengenai pengakuan salah oleh responden. Pengakuan salah perlu diambil kira dengan lain-lain fakta dan keadaan yang relevan yang wujud dalam kes berkenaan. Sekiranya pengakuan salah adalah akibat tertuduh memang tidak ada apa-apa pembelaan, pengakuan salah olehnya tidak merupakan perkara yang boleh meringankan hukuman. Pengakuan salah juga akan hanya memihak kepada tertuduh sekiranya semua fakta-fakta dan keadaan mengenai kesalahan yang dilakukannya membenarkan mahkamah berbuat demikian. Agustine Paul, PK (sepertimana Yang Arif pada masa itu) telah menyatakan kedudukannya dalam kes PP v. Govindnan a/I Chinden Nalr (1988) 2 MLJ 181, 192 sedemikian:

".... In my opinion, a guilty plea ought to be considered in favour of the accused only when all other factors and circumstances surrounding the commission of the offence justify such a consideration. Its application in favour of the accused depends on the circumstances of each case (see Wong Kai Chuen Philip v PP [1991] 1 MLJ 321 ). In PP v. Low Kok Wai [1988] 3 MLJ 123, Mohamed Dzaiddin J (as he then was) said at p. 124:

....In the present case, the only mitigating factor is the accused's plea of guilty. It is a principle of sentencing that whenever possible the court should take into account as a mitigating factor the fact that the accused has pleaded guilty. The extent to which a plea of guilty is a mitigating factor must depend on the facts of each case, and it cannot be a powerful mitigating factor when effectively no defence to the charge was available to the accused (see Archbold (42nd Ed) para 4-480 citing R v Davis (1980) 2 Cr. App.(s) 168).

The severity of the offence committed may outweigh the mitigating effect of a guilty plea (see Lee Say 8C Ore v PP [1985] 2 CLJ 155; Loh Hock Seng v. PP [1980] 2 MLJ 13; PP v Oo Leng Swee 8t Ors [1981] 1 MLJ 247). Where public interest demands a deterrent sentence in the circumstances of a particular case, then the effect of such a plea must also give way. In this regard, I refer to R v Costen (1989) II Cr App R (S) 182 where Lord Lane said at p 184:

But there are certain exceptions, likewise well authenticated in the authorities, to that general rule that discount will be allowed for a plea of guilty. The first and most important exception is the protection of the public. Where it is necessary that a long sentence, if necessary the maximum sentence, should be passed in order to protect the public, in those circumstances, a plea of guilty may not result in any discount.

Thus, there can be no automatic rule that a guilty plea on its own entitles an accused to a lesser punishment.

It is my view that the learned magistrate, in imposing the sentence, had placed undue emphasis on the guilty plea of the accused. His opinion that a lenient sentence must be imposed following a guilty plea is clearly wrong in law. It overlooks the fact that the plea must be considered in the light of the other circumstances of the case."

Kedua adalah mengenai maruah responden. Daripada fakta kes responden telah menggunakan jarinya dan menggosokkan kemaluan mangsa sehingga kemaluan mangsa kemerahan dan merasa sakit. Mangsa merupakan cucu perempuan responden sendiri yang berumur hanya 3 tahun semasa kejadian. Orang yang sanggup melakukan kesalahan sedemikian semata-mata untuk menjamu nafsunya ke atas cucunya sendiri yang berumur hanya 3 tahun jelas merupakan orang yang langsung tidak bermaruah. Oleh yang demikian saya tidak faham apakah maruah responden yang diambilkira oleh Majistret. Kesalahan tersebut merupakan perbuatan yang langsung tidak masuk akal dan keji serta yang tidak akan diterima oleh masyarakat umum.

Mengenai kepentingan awam, saya dapati bahawa Majistret langsung tidak mengambilkira kedudukan mangsa yang merupakan cucu responden yang hanya berumur 3 tahun semasa kejadian. Walaupun Majistret telah menyatakan perkataan-perkataan "kepentingan awam" tiga kali dalam alasan penghakimannya, keseiuruhan alasan penghakimannya hanya mengambilkira kepentingan responden sahaja. Di sisi undang-undang kanak-kanak diberi kedudukan istimewa dan dilindungi secara komprehensif daripada semua segi. Sepertimana kita semua mengetahui kanak-kanak merupakan harapan dan masa hadapan sesebuah negara. Mereka merupakan golongan yang paling terdedah dan tidak mampu melindungi diri daripada perbuatan-perbuatan yang tidak diingini serta penganiayaan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Justeru itu, demi memelihara kepentingan kanak-kanak, Parlimen telah menggubalkan banyak perundangan khas untuk mengawalselia dan melindungi kanak-kanak. Antara perundangan-perundangan itu ialah Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Penjagaan Budak-Budak 1961, Akta Kesahtarafan 1961 dan Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952.

Selain daripada itu ada terdapat peruntukan-peruntukan khas yang melindungi kepentingan kanak-kanak dafam beberapa perundangan. Contoh-contohnya boleh didapati dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Kanun Kesiksaan dan Akta Keterangan 1950. Oleh yang demikian Mahkamah perlu mengambil pengiktirafan kehakiman bahawa kesalahan seksual ke atas kanak-kanak semestinya merupakan daripada segi kepentingan awam satu kesalahan yang amat serius. Dalam kes ini mangsa yang hanya berumur 3 tahun sudah tentunya mengalami trauma dan kejutan yang ngeri serta kesan psikologikal yang sukar dilupakan sepanjang hayatnya. Mangsa sebagai seorang cucu sepatutnya mendapat kasih sayang dan perlindungan daripada datuknya tetapi sebaliknya telah dipaksa mengalami perbuatan keji oleh datuknya sendiri.

Dalam keadaan kes ini adalah jelas bahawa Majistret telah salah arah dalam pertimbangannya. Yang patut diambilkira ialah maruah mangsa yang dicabuli oleh responden dan bukan sebaliknya kepentingan responden yang merupakan seorang yang tidak bermaruah. Oleh yang demikian saya bersetuju dengan penghujahan Timbalan Pendakwa Raya bahawa Majistret telah memberi pertimbangan terlalu lebih kepada responden dan iangsung tidak mengambilkira kepentingan awam. Memang menjadi prinsip yang jelas dan diulangi berkali-kali oleh Mahkamah bahawa dalam menjatuhkan hukuman kepentingan awam merupakan fakta yang utama yang perlu diambilkira.

Majistret juga telah mengambilkira umur dan keadaan kesihatan responden dalam meringankan hukuman. Semasa melakukan kesalahan tersebut responden sendiri menyedari keadaan kesihatannya tetapi masih sanggup melakukan kesalahan tersebut. Oleh yang demikian responden sepatutnya sanggup juga menghadapi hukuman yang akan dikenakan bagi kesalahan itu di sisi undang-undang. Jika umur yang lanjut dan keadaan kesihatan diterima sebagai unsur meringankan hukuman Mahkamah akan memberi gambaran dan isyarat yang salah kepada masyarakat umum bahawa orang-orang tua dan uzur diberi keistimewaan khas jika disabit atas apa-apa kesalahan. Sepatutnya umur tua akan membuat seseorang itu lebih matang daripada segi pemikiran dan kelakuannya.

Responden bukan seorang remaja yang boleh dianggap oleh Mahkamah masih belum matang daripada segi pemikiran dan pengalaman. Mahkamah boleh memberi pertimbangan kesalahan-kesalahan oleh para remaja bagi tujuan memberi peluang mereka memperbetulkan akhlak mereka supaya kembali ke pangkuan masyarakat dengan bantuan supaya menukarkan cara hidup dan menghapuskan kecenderongan berjenayah. Tetapi bagi seorang yang berumur melebihi 60 tahun, jika pada tahap umur sedemikian responden sanggup melakukan kesalahan, lebih-lebih lagi kesalahan yang keji, unsur pemulihan telah terlalu lewat untuk diambilkira dan pertimbangan pemikiran yang tidak matang tidak terpakai. Sekali lagi, umur yang lanjut tidak langsung halang responden daripada melakukan kesalahan berkenaan. Oleh yang demikian responden sepatutnya sanggup menerima akibat kesalahan yang dilakukan olehnya.

Apa-apa kesulitan daripada segi kesihatan yang dialami oleh responden atas hukuman bagi kesalahan yang dilakukannya adalah akibat perbuatan responden sendiri. Kesulitan akibat hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah juga telah dibangkitkan oleh responden dalam kes rayuan jenayah PP v. Teh Ah Cheng [1976] 2 MLJ 186, 187 dan dalam kes tersebut Abdoolcader H (sepertimana Yang Arif pada masa itu) telah menyatakan sedemikian:

"....The respondent also puts forward in his plea in mitigation the fact that he is employed and supports an aged mother and step-brothers. He should of course have thought of this before committing the offences and not after; he is in fact pleading hardship arising from the consequences of his own acts and I would reiterate what I had occasion previously to observe in another case that an offender should not expect to excite or harness any sympathy on an ipse dixit by taking the stance of the impetuous youth who killed his parents with an axe and then pleaded in mitigation that he was an orphan...".

Semua orang perlu menghormati dan mematuhi undang-undang, sama ada mereka tua, muda, sakit atau sihat. Sepertimana dinyatakan oleh Raja Azian Shah H (sepertimana Baginda pada masa itu) dalam kes PP v. Datuk Haji Harun b. Haji Idris (No.2) [1977] 1 MLJ 15:

"I repeat what I said before - the law is no respecter of person".

Satu lagi perkara yang tidak diambilkira oleh Majistret dalam kes ini ialah kesan kecederaan kepada kemaluan mangsa. Mengikut fakta kes ibu mangsa mendapati kecederaan kepada kemaluan mangsa pada 16.10.2002 selepas mangsa dimandikan olehnya. Mangsa diperiksa oleh doktor pada esoknya (17.10.2002) dan doktor telah mengesahkan ada kecederaan ("Redness at the right labia minora seen" dan "..soft tissue injury...") kepada kemaluan mangsa. Ini bermakna bahawa kecederaan yang dilakukan kepada kemaluan mangsa oleh responden merupakan kecederaan yang agak serius kerana masih terdapat kesan kecederaan sehari selepas kejadian. Peninggalan oleh Majistret atas perkara yang relevan ini sepatutnya merupakan faktor yang memberatkan hukuman dalam kes ini.

Berasaskan semua perkara-perkara yang saya telah menyatakan, saya dapati bahawa Majistret telah salah arah daripada beberapa segi dalam penetapan prinsip kepentingan awam kerana telah mengambil kira perkara-perkara yang salah dan telah tidak mengambilkira perkara yang relevan dalam menjatuhkan hukumannya terhadap responden. Pengakuan salah oleh responden sepatutnya diambilkira dalam konteks faktor-faktor sepertimana saya telah sebutkan. Oleh yang demikian rayuan oleh Pendakwa Raya dibenarkan dan hukuman oleh Majistret dibatalkan. Responden sebaliknya dihukum penjara 6 tahun.

Bertarikh: 26 April 2005

Dato’ Zainal Adzam bin Abd Ghani

Hakim Mahkamah Tinggi Alor Star kedah Darul Aman

1. TPR Azeezi b. Nordin
Jabatan Peguam Negara
Bagi pihak Perayu

2. Tuan Pengarah
Jabatan Penjara Malaysia
Penjara Pokok Sena
KM 24, Jalan Naka
06400 Pokok Sena
Kedah Darul Aman.