CASE OF THE WEEK

Print this page

PROSEDUR MAL: Perbicaraan - Pertukaran hakim - Harta pusaka - Permohonan supaya hakim menarik diri - Hakim mengeluarkan Sijil Faraid mengenai pusaka yang dipertikai - Sama ada memungkinkan tohmah - Sama ada harus menarik diri dari mendengar kes - Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 ss. 11, 15


KERAJAAN NEGERI TERENGGANU lwn. TENGKU IBRAHIM SULTAN ISMAIL NASIRUDDIN SHAH
MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH, TERENGGANU
SHEIKH GHAZALI ABDUL RAHMAN KHS, MUHAMAD ASRI ABDULAH HR, ABDULLAH ABU BAKAR HR
[KES MAL NO: 040(2)-6/2003]
13 SEPTEMBER 2004

PENGHAKIMAN

Muhamad Asri Abdullah HR:

Perayu telah merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah, Terengganu yang telah diputuskan pada 15 September 2003 dimana Y.A Dato’ Ismail bin Yahya telah menolak permohonan bantahan awal perayu supaya Y.A. hakim bicara menarik diri daripada membicarakan kes berkaitan.

Perayu telah berhujah bahawa perayu tidak puashati terhadap keputusan Y.A. Hakim bicara berdasarkan alasan Y.A. Hakim bicara telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila menolak bantahan awal perayu. Saya bersetuju dengan pendapat perayu bahawa Sub-seksyen 11(3) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 mengenai bidangkuasa Mahkamah Tinggi Terengganu untuk membicarakan penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang Islam dan bahagian masing-masing tidak dipertikaikan. Begitu juga berkaitan s. 15 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001. Apa yang dipertikaikan bukan mengenai bidangkuasa mahkamah atau mempertikaikan kelayakan hakim tetapi ada unsur-unsur yang membawa kepada ketidakadilan boleh berlaku dan kewibawaan hakim bicara untuk mendengar kes ini akan menjadi tohmahan kerana hakim bicara telah mengeluarkan Sijil Faraid bagi pusaka YAM al-marhumah Tengku Besar Hafsah pada 24 Ogos 2000, sepertimana di dalam Sijil Faraid No: 41-002-4-2000. Dimana Sijil Faraid berkenaan dan kes mengenai harta pusaka tersebut secara langsung adalah berkaitan.

Kes yang akan dibicara di hadapan Y.A. Hakim Mahkamah Tinggi nanti adalah berkaitan dengan pertikaian harta pusaka DYMM Sultan Zainal Abidin III. Persoalan sama ada ia merupakan harta pusaka atau tidak? Sama ada waris-waris yang telah ditentukan bahagian-bahagian mereka dalam Sijil Faraid berkenaan berhak mendapat bahagian berkaitan atau tidak?. Kami kurang bersetuju dengan hujah peguam perayu bahawa secara tidak langsung dengan Y.A hakim bicara mengeluarkan Sijil Faraid tersebut bermakna Y.A. hakim bicara telah mensabitkan bahawa Cap Zuriat Sungai Mengkuang adalah merupakan harta pusaka DYMM Sultan Zainal Abidin III yang diwarisi oleh baginda selepas kemangkatan puteri Baginda YAM Tengku Besar Hafsah. Kami berpendapat bahawa isu tersebut tidak demikian tetapi pendapat Y.A. hakim mengenai Sijil Faraid itu boleh mempengaruhi pihak yang berkepentingan bahawa harta tersebut adalah sebahagian dari harta pusaka. Oleh itu tidak harus bagi seorang hakim memberikan apa-apa pendapatnya atau apa-apa ketetapan dalam sesuatu perkara yang berkemungkinan menjadi kes yang akan diselesaikannya di mahkamah nanti. Sehubungan dengan itu, apabila seorang hakim telah menyatakan pendapatnya tentang sesuatu perkara, ada kemungkinan hasil perbicaraan di mahkamah akan berbeza dengan pendapatnya. Kalau ini berlaku, sangka buruk atau tohmah terhadap hakim akan timbul. Ini akan menjejaskan kedudukan hakim kerana penghukumannya itu telah bertentangan dengan pendapatnya vice versa.

Diriwayatkan pada suatu ketika Kadi Syuraih diminta memberi fatwa (pendapat) dalam perkara yang berkemungkinan akan dihakiminya di mahkamah dengan tegas beliau berkata, "Saya menghukum dan bukan memberi fatwa".

Lihat Doktor Syubhi Mahmasyoni al Mujtahidun fi al Qadha Dar al ‘Ilmi Lil Malayin, 1980 (Cetakan Pertama) hlm. 17.

Walaupun demikian ada juga yang berpendapat bahawa kadi boleh mengeluarkan fatwa dalam perkara-perkara ibadat, tetapi tidak boleh dalam perkara-perkara muamalat.

Lihat Abil Walid Ibrahim Ibn Yaman, Lisan al-Hukkam Fi Ma’rifah al-Ahkam. Dar al Fikr 1402 H/ 1982 M. hlm 219.

Islam menghendaki setiap orang hakim berpegang teguh dan menghayati prinsip etika ataupun adab kadi yang telah ditetapkan oleh syarak semasa menjalankan perbicaraan. Tujuannya ialah untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan dan kewibawaan hakim dan mahkamah dapat dipertahankan serta ditingkatkan. Oleh itu setiap perkara yang boleh mendatangkan tohmah dan kesangsian terhadap perjalanan mahkamah dan perbicaraan hendaklah dielakkan. Ini untuk menentukan keadilan hakiki dapat dilaksanakan. Oleh itu Islam menekankan bahawa keadilan hendaklah mengatasi segala-segalanya sama ada musuhnya, orang bukan seagamanya, orang yang menyakiti dirinya sendiri, orang yang meragui ataupun membencinya. Firman Allah s.w.t di dalam surah al Maidah, ayat 8:

Maksudnya:

Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan, hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.

Pengeluaran Sijil Faraid tersebut walaupun tanpa ada sebarang pendengaran tetapi hakim telah membuat keputusan mengenai ahli-ahli waris simati yang layak mendapat pusaka dan bahagian masing-masing dan ada kemungkinan pengetahuan hakim telah melampaui daripada apa yang tercatat di dalam sijil berkaitan.

Seterusnya perayu menimbulkan Y.A. telah khilaf tentang fakta yang diberikan. Fakta bahawa hakim hanya mengeluarkan Sijil Faraid tetapi hakim tidak boleh mengarahkan kepada pihak mana supaya sijil itu diterima atau tidak. Isu sama ada hakim akan dipanggil menjadi saksi atau tidak adalah tidak berbangkit sama sekali. Ada kemungkinan juga bahawa hakim dipanggil untuk menjadi saksi pakar itulah sebabnya beliau patut menarik diri.

Perayu telah merujuk kepada Kod Etika Hakim Syarie, kod 3(g) dimana menyatakan seseorang hakim syarie tidak boleh memberikan pendapat mengenai sesuatu perkara atau keadaan yang ianya sedang dibicarakan atau berkemungkinan akan menjadi satu isu dalam mana-mana perbicaraan dihadapannya, kerana pendapatnya itu boleh kemudiannya digunakan oleh sesuatu pihak untuk menyokong hujahnya. Persoalannya jika ada kemungkinan sahaja pendapat yang telah diberikan akan digunakan untuk menyokong hujahnya maka ia telah menimbulkan tohmahan kepada hakim yang berkenaan. Bias ini bukan sahaja akan diukur sendiri oleh hakim bicara tetapi jua oleh orang awam, lebih-lebih lagi pihak-pihak yang terlibat. Fakta-fakta yang akan membuat seseorang yang berfikiran waras berfikir bahawa terdapat kemungkinan sebenar tindakan berat sebelah atau yang mungkin boleh memberi asas munasabah bagi orang itu mengesyaki tindakan berat sebelah hakim itu berlaku dan mengganggu dari tugas dan kewajipan hakim.

Abdul Karim Zaidan dalam sebuah buku bertajuk Nizam al Qadha’ fi al Syariah al Islamiah, Cetakan Ketiga 1418 H/ 1997 m.s. 53 menyebut:

Jika didapati kerja-kerja itu boleh mengganggunya dari kewajipan-kewajipan tugasnya, tidak harus dia meneruskannya. Sebaliknya apabila didapati kerja-kerja itu tidak mengganggu tugas-tugas kehakiman dan tidak terdapat pada kerja-kerja itu larangan memihak sebelah dan tolak ansur yang memberikan reflection (bayangan) ke atas penghujahan pihak-pihak lawan dalam dakwaan mereka dihadapannya, maka tidak mengapa dia melakukan kerja-kerja itu menurut pandangan sebahagian fuqaha.

Manakala pihak responden telah berhujah bahawa pengeluaran Sijil Faraid tersebut tidak akan menimbulkan bias kerana Y.A. hakim hanya menyenaraikan nama-nama ahli penerima pusaka atau waris-waris sahaja. Didalam permohonan tidak dinyatakan harta-harta yang dipertikaikan dan berapa banyak. Persoalannya Y.A. hakim tidak mendengar lagi pihak-pihak hanya menyatakan hukum faraid sahaja. Perayu berhujah bagaimana hakim boleh mengetahui latar belakang kes dan mengganggu kes perayu. Isunya hakim telah terlibat dalam sebahagian fakta yang menjadi isu dalam kes berkenaan dan telah memberikan suatu ketetapan mengenai sebahagian persoalan pusaka tersebut. Kami bersetuju dengan pendapat bahawa pengeluaran Sijil Faraid ini bermaksud hakim telah meneliti nama-nama waris yang layak menerima faraid, hubungan di antara waris dengan simati, bahagian-bahagian mereka untuk mendapatkan harta simati. Hakim telah membuat keputusan mengenai perkara-perkara tersebut yang merupakan sebahagian fakta yang berkait dengan harta tersebut, walaupun harta-harta tersebut tidak disebut di dalam Sijil Faraid tersebut.

Seterusnya perayu berhujah Sijil Faraid dikeluarkan atas dasar sebahagian dari fungsi hakim berdasar fakta yang diberikan. Oleh itu pengeluaran Sijil Faraid tidak boleh dikatakan fungsi yang melampaui tugas hakim. Isu bidangkuasa hakim mengeluarkan Sijil Faraid tidak dipertikaikan. Tugas berkenaan yang telah diberikan bidangkuasanya oleh Enakmen dan tidak boleh dikatakan membawa keputusan hakim berat sebelah. Satu syak wasangka telah dibuat pada hakim. Isu ini juga tidak timbul. Isu yang ditimbulkan hakim bicara sepatutnya menarik diri dari mendengar kes kerana Y.A. telah membuat satu keputusan dalam satu Sijil Faraid.

Manakala hujah pihak responden yang mengatakan bahawa hakim hanya mengeluarkan Sijil Faraid dimana hakim tidak membuat penambahan baru, dimana tidak disentuh langsung mengenai harta simati. Jika ada unsur-unsur yang menjejaskan kes perayu yang membawa kepada ketidakadilan adalah memerlukan tahap pembuktian yang tinggi atau ada kebarangkalian tidak adil pada hakim tersebut. Syak wasangka semata-mata adalah tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa seseorang hakim itu patut menarik diri. Sila rujuk kes CLJ [2003] 2 dalam kes Tan Kim Hor v. Tan Chong Motor Company Sdn Bhd &. Ors. 440. Ini membuktikan bahawa kes ini memerlukan tahap pembuktian yang tinggi. Pengeluaran Sijil Faraid tanpa adanya pendengaran atau memanggil pihak-pihak merupakan ‘a mere suspicion’ adalah tidak memadai. Oleh itu pihak perayu membuat permohonan ini adalah di atas syak wasangka sahaja dan tidak sampai kepada ujian yang standard. Sijil Faraid tersebut adalah isu yang bukan ‘prima’, isu yang patut didengar adalah untuk memutuskan sama ada hak pusaka atau tidak. Kami berpendapat bahawa dalam kes ini Y.A. hakim bukan sahaja telah mendapat maklumat mengenai sebahagian persoalan faraid tersebut tetapi telah membuat suatu keputusan ataupun ketetapan yang berkait dengan ahli-ahli waris dan bahagian-bahagian pusaka tersebut yang akan menjadi satu isu dalam perbicaraan yang akan dilaksanakan dan pendapat tersebut akan digunakan untuk menyokong hujah pihak yang berkepentingan dan menjadi satu tohmahan pada hakim. Kami berpendapat pertimbangan yang patut diukur pada hukum syarak sama ada seseorang hakim itu telah memberikan pendapatnya (fatwa) dalam sesuatu perkara yang akan menjadi suatu kes yang akan dihadapkan kepadanya atau tidak. Jika jawapannya "ya", hakim yang berkenaan patut mengelakkan dirinya dari mendengar kes tersebut. Oleh itu seseorang hakim adalah dilarang memberikan apa-apa pendapat jika ada kemungkinan kes itu akan dihadapkan semula kepadanya. Ini adalah untuk menolak segala kemunasabahan berlakunya tohmahan kepada seseorang hakim.

Muhammad bin Khalaf bin Hayyan (Waki’) di dalam kitab al Akhbar al Qudhat, ‘Alam al Kutub Beirut, Juzuk Kedua m.s. 168 ada menyebut mengenai larangan hakim daripada memberikan pendapat atau fatwa.

Keputusan

Setelah meneliti hujah-hujah dan alasan kedua-dua pihak dan rekod-rekod rayuan kami berpendapat bahawa rayuan perayu mempunyai asas-asas yang kuat. Oleh itu keputusan Y.A. hakim Mahkamah Tinggi dibatalkan dan rayuan diterima. Kes tersebut hendaklah didengar oleh hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang lain.

* * * * * *

[Keputusan yang arif hakim bicara dibatalkan. Kes tertangguh diperintah dibicarakan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi lain]

Kes-kes yang dirujuk:
Tan Kim Hor v. Tan Chong Motor Company Sdn Bhd & Ors [2003] 2 CLJ 440 (dirujuk)

Perundangan yang dirujuk:
Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001, s. 11, 15

Surah-Surah al-Qur’an yang dirujuk:
Al-Maidah ayat 8

Kitab-Kitab yang dirujuk:
Al-Akhbar al Qudhat
Al-Mujtahidun fi al Qadha Sharif
Lisan al-Hukkam fi Ma’rifah al Ahkam
Nizam al Qadha fi al Syariah al Islamiah

Dilaporkan oleh WA Sharif

[Full judgement available in hard copy issue vide "Laporan Syariah (Syariah Reports) [2005] 2 CLJ(Sya) 58"]