CASE OF THE WEEK

Print this page

Prosedur Jenayah: Pelupusan harta - Perlucuthakan harta alih - Penyitaan kereta - Beban pembuktian


PP lwn. LEE KEE SENG & SATU LAGI
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
MOHAMAD ZABIDIN DIAH PK
[RJ NO: 42-360-2004]
1 JULAI 2005

PENGHAKIMAN

Mohamad Zabidin PK:

Ini adalah rayuan oleh Pendakwa Raya terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen mengarahkan sebuah kereta Honda CRV No: PDR 2837 dipulangkan kepada Hong Leong Finance Berhad iaitu responden kedua. Keputusan ini dibuat setelah Hakim Mahkamah Sesyen bijaksana mendengar satu rujukan yang dibuat oleh Pendakwa Raya di bawah s. 32(2) Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Keterangan adalah jelas bahawa pemilik berdaftar kereta tersebut adalah seorang bernama Loh Kah Hock dengan hak milik dituntut oleh Hong Leong Finance sebagai pemberi pinjaman. Harga belian kereta tersebut adalah RM120,000. Loh Kah Hock membayar RM50,000 sebagai wang pendahuluan dan selebihnya iaitu RM70,000 dibiayai melalui pinjaman dari Hong Leong Finance sebelum kereta disita, Loh Kah Hock telah membayar 33 ansuran berjumlah RM40,835.

Notis mengenai penyitaan kenderaan tersebut di bawah sub-seksyen 25(1) Akta telah diserahkan kepada Lee Kee Seng iaitu responden pertama, kepada Loh Kah Hock sebagai pemilik berdaftar dan Hong Leong Finance – responden kedua.

Loh Kah Hock tidak membuat apa-apa tuntutan untuk mendapat balik kereta dan tidak dipanggil untuk memberi keterangan sementara Lee Kah Seng telah gagal hadir Mahkamah untuk memberi keterangan.

Seksyen 35 Akta dengan jelas memperuntukkan;

Where any proceedings under this Act are brought against any person or in respect of any property on the ground that such person is a liable person or such property is illegal property, the court shall presume that person to be a liable person and that property to be illegal property, unless the person proceeded against proves to the contrary by admissible evidence and where he adduces any such evidence, the public prosecutor shall have the right to rebut the same.

Dengan lain perkataan Hakim Mahkamah Sesyen perlu memulakan kes ini dengan menganggap bahawa Lee Kah Seng dan Loh Kah Hock sebagai liable person dan kereta PDR 2837 sebagai illegal property. Terpulang kepada pemohon/responden untuk membuktikan sebaliknya. Jika ini gagal dilakukan maka Hakim Mahkamah Sesyen mempunyai tanggungjawab untuk memerintahkan kenderaan tersebut dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia. Berhubung siapa yang mempunyai beban untuk mengemukakan bukti ini jelas diterangkan dalam kes PP v. Tan Lee Kok [1988] 2 MLJ 65 di ms 71:

Upon being referred to under s. 32(2), then pursuant to s. 32(3), the sessions court is required to issue a summons to the person claiming and shall proceed to the examination of the matter. From this it can be seen the law does not place the burden on the Public Prosecutor to satisfy the court that the seizure was proper, or that the property ought to be forfeited; on the contrary the law places the burden on the person who made the claim to answer the summons. Section 32(3) places the burden upon the person making claim ‘upon proof that he is lawfully entitled thereto’. Section 32, therefore, places no burden on the Public Prosecutor to prove anything. It merely places the burden to refer the claim to the Sessions Court.

Adalah jelas dalam kes ini beban adalah di atas Hong Leong Finance untuk membawa keterangan bagi menolak anggapan yang timbul iaitu Lee Kee Seng dan/atau Loh Kah Hock bukan liable person dan kereta PDR 2837 bukan illegal property.

Persoalannya adakah beban ini telah dipenuhi. Dari keterangan wakil Hong Leong Finance dapat dilihat bahawa responden kedua iaitu Hong Leong Finance telah berjaya membuktikan pada masa kereta tersebut diperolehi RM70,000 dari harga belian adalah dari sumber yang sah iaitu dari wang pinjaman yang diberi oleh Hong Leong Finance. Walaupun begitu tiada keterangan untuk membuktikan bahawa RM50,000 yang dibayar oleh Loh Kah Hock adalah dari sumber yang sah. Selain dari itu keterangan juga jelas bahawa setakat tarikh kereta di tahan Loh Kah Hock telah membayar balik RM40,835 dari RM70,000 yang dipinjam. Tiada keterangan menunjukkan bahawa RM40,835 ini adalah dari sumber yang sah. Ini menjadikan kesemuanya RM90,835 yang tidak dibuktikan sebagai dari sumber yang sah.

Illegal property seperti di takrif bawah seksyen 2 Akta adalah antara lain ‘any property, whether within or outside Malaysia:

(a) which is wholly or partly derived or obtained from or by means of any prohibited activity carried out by any person after the commencement of this act;

Oleh itu untuk mematahkan anggapan bahawa kereta tersebut bukan illegal property perlu dibukti bahawa keseluruhan harga belian dan pembayaran balik pinjaman adalah dari sumber yang sah. Ini telah gagal dilakukan oleh Hong Leong Finance. Hanya dengan membuktikan bahawa sebahagian harga belian adalah dari sumber yang sah tidak mencukupi untuk mematahkan anggapan tersebut.

Berdasarkan alasan di atas saya dapati kereta PDR 2837 adalah illegal property. Berikutan dari itu saya dapati Hakim Mahkamah Sesyen tersilap apabila memerintah kereta PDR 2837 di serahkan kepada Hong Leong Finance iaitu responden kedua. Perintah tersebut diketepikan. Begitu juga dengan perintah mengarah Hong Leong Finance membayar Kerajaan Malaysia RM16,800 diketepikan. Tidak ada peruntukan untuk mahkamah membuat perintah sedemikian. Sekiranya mahkamah dapati kereta tersebut bukan illegal property mahkamah perlu arahkan kereta tersebut dipulangkan kepada pemohon. Begitu juga sebaliknya, jika ianya illegal property ianya mesti dilucut hak. Tidak timbul soal pampasan perlu dibayar walaupun terdapat bukti menunjukan sebahagian dari wang pembelian adalah dari sumber yang sah.

Dalam kes ini meneliti keterangan yang ada dan berdasarkan alasan-alasan di atas saya dapati kereta PDR 2837 adalah illegal property. Oleh itu ianya dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

[Diperintah sedemikian.]

* * * * * *

Kes-kes yang dirujuk:
PP v. Tan Lee Kok [1988] 2 MLJ 65 (diikuti)

Perundangan yang dirujuk:
Dangerous Drugs (Forfeiture of Property) Act 1988, ss. 32(2), 35

Bagi pihak perayu - Budiman Lutfi Mohamed DPP

Bagi pihak responden - Parmjit Singh Mahinder Singh; T/n Salina Lim Kim Chuan & Co