CASE OF THE WEEK |
PERKAHWINAN: Akadnikah - Kesahan - Perkahwinan antara perempuan rakyat Kemboja dan lelaki tempatan - Ketiadaan wali nasab - Sama ada perlu mendapat persetujuan hakim syarie - Nikah diakad jurunikah sebagai Wali Raja tanpa persetujuan hakim syarie - Sama ada fasid dan tak sah - Sama ada perlu diakad semula - Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 [Terengganu] ss. 2, 11, 15, 16, 17
PERKAHWINAN: Wali - Wali Raja - Perkahwinan antara perempuan rakyat Kemboja dan lelaki tempatan - Ketiadaan wali nasab - Nikah diakad jurunikah sebagai Wali Raja - Sama ada sah - Sama ada jurunikah layak menjadi Wali Raja - Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam 1985 [Terengganu] ss. 2, 11, 15, 16, 17
PERKATAAN & ISTILAH: "Wali Raja" - Pengertian dan Maksud
DALAM PERKARA
PERMOHONAN KHORI BT AHMAD & SATU LAGI
MAHKAMAH TINGGI SYARIAH, KUALA TERENGGANU
ISMAIL YAHYA H
[KES MAL NO: 11100-010-4-2003]
24 APRIL 2003
PENGHAKIMAN
Ismail Yahya H:
Permohonan yang didengar pada hari ini ialah permohonan untuk menentukan sah atau tidak menurut hukum syarak, suatu akadnikah perkahwinan antara pemohon, Khori binti Ahmad, warga negara Kemboja dengan Abu Samah bin Ab Halim, KPT: 680518-71-5337, yang telah pun dilangsungkan pada 3 Rabiul Akhir 1417 bersamaan 18 Ogos 1996. Akadnikah perkahwinan itu telah dilakukan oleh jurunikah bertauliah, Haji Yusof bin Ali, K/P: 2637398, memakai Wali Raja, iaitu Haji Yusof bin Haji Ali sendiri. Akad nikah itu telah diadakan di Kampong Banggol Cempedak, Serada, Kuala Terengganu. Surat Perakuan Nikah Pemohon dengan Responden telah dikeluarkan kepada pasangan ini oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Mukim Kepong/Serada yang mana telah didaftarkan dengan Bilangan 120/96 Kepong/Serada, Kuala Terengganu.
Persoalan pertama di dalam permohonan ini ialah, adakah mahkamah ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan ini. Isu bidang kuasa seseorang hakim atau satu-satu mahkamah bukan hanya sekadar merupakan ketentuan mengikut undang-undang, malah ianya adalah juga melibatkan penghakiman mengikut hukum syarak. Di dalam kitab al-Qada fil Islam oleh Muhammad Salam Madkur, terbitan Matbaah al-Aalamiyah, Kaherah, 1964, pada m.s. 54, antara lain ada menyebut:
[Jawi text omitted]
Yang bererti:
Bidangkuasa mengikut jenis kes ialah pemerintah mengkhususkan bidangkuasa ke atas seseorang hakim semasa perlantikan hakim itu atau selepas perlantikan dibuat dengan menentukan bahawa hakim itu mempunyai bidangkuasa tertentu sahaja seperti diberi bidangkuasa bagi mengendalikan undang-undang diri, undang-undang sivil, undang-undang perdagangan atau bagi undang-undang jenayah dan seumpamanya; oleh yang demikian hakim itu hanya berbidangkuasa bagi kes-kes yang dianya diberi bidangkuasa sahaja dan hakim itu tidak boleh melaksanakan bidangkuasa lain yang tidak diberi kepadanya.
Mengenai persoalan bidangkuasa mahkamah ini, sub-seksyen 11(3) fasal (b) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001, yang berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2002, memperuntukkan;
Mahkamah Tinggi Syariah:
(a) ...
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubung dengan:
(i) pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;
(ii) ...
(iii) ...
(iv) ...
(v) ...
(vi) ...
(vii) ...
(viii) ...
(ix) ...
(x) ...
(xi) ..., dan
(xii) ...
Mengikut peruntukan undang-undang yang dinyatakan di atas, saya berpuas hati bahawa mahkamah ini berbidang kuasa mendengar dan memutuskan permohonan ini.
Persoalan kedua di dalam permohonan ini pada pendapat saya ialah persoalan adakah akad nikah perkahwinan antara pemohon dengan responden yang telah dilangsungkan pada 3 Rabiul Akhir 1417 bersamaan 18 Ogos 1996 itu sah atau tidak sah menurut hukum syarak? Persoalan ini adalah persoalan pokok di dalam permohonan ini. Mengenai akad nikah perkahwinan, Allah s.w.t. telah menjelaskan sebagaimana firmanNya;
Surah al-Rum ayat 21.
[Jawi text omitted]
Yang bermaksud;
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa la menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Di antara pesanan Rasulullah s.a.w. semasa di Arafat dalam masa menunaikan haji, sebagai mana disebut di dalam kitab Sunan Abi Daud, hadis ke 1905, Juzuk Kedua, Dar al-Fikr, Beirut, Labenon, tanpa tarikh, ada menyebut:
[Jawi text omitted]
Yang bermaksud;
... Bertaqwalah kamu kepada Allah dalam hal ehwal wanita, sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan dihalalkan bagi kamu mengadakan hubungan kelamin berlandaskan kalimah Allah ...
"Nikah" menurut istilah Hukum Syara bermaksud akad yang mengandungi di dalamnya lafaz nikah atau tazwij atau terjemahan keduanya dengan perantaraan wali dan di hadapan dua orang saksi, yang mengharuskan suami dan isteri yang diakadkan itu bersetubuh. Al-Syeikh Sulaiman al-Bujairimi di dalam kitab Bujairimi ala al-Khatib, jilid 3 m.s. 300 ada menyebut:
[Jawi text omitted]
Yang bererti;
Akad yang mengandungi di dalamnya lafaz nikah atau tazwij atau terjemahan keduanya yang mengharuskan suami dan isteri yang diakadkan itu bersetubuh.
Mengikut hukum syarak untuk menjadikan sesuatu perkahwinan itu sah, hendaklah memenuhi rukun-rukun nikah. Al-Syeikh Sulaiman al-Bujairimi di dalam kitab Bujairimi ala al-Khatib, jilid 3 m.s. 326 - 327 ada menyebut;
[Jawi text omitted]
Yang bererti,
Fasal pada membicarakan rukun-rukun nikah-dan adapun rukun-rukun nikah itu lima perkara iaitu; sighah, pengantin perempuan, pengantin lelaki, wali. Pengantin lelaki dan wali adalah pihak-pihak melaksanakan akadnikah perkahwinan melalui sighah iaitu lafaz ijab dan lafaz qabul. Yang kelimanya ialah dua orang saksi lelaki.
Mengikut peruntukan hukum syarak itu, rukun nikah yang pertama ialah sighah. Sighah ialah lafaz ijab daripada wali pengantin perempuan beserta lafaz qabul dari pihak pengantin lelaki. Di dalam kes ini, menurut keterangan yang dikemukakan oleh pemohon dan responden serta melalui keterangan dokumentar iaitu Borang Nikah (Borang 1) Mengikut Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam, 1985, No. 037738, Bilangan 43/96 Mukim Serada Daerah Kuala Terengganu dan Surat Perakuan Nikah Bilangan 120/96 Kepong/Serada, Kuala Terengganu telah dibuktikan bahawa adanya lafaz ijab iaitu daripada Haji Yusof bin Haji Ali, sebagai Wali Raja kepada pemohon semasa itu dan adanya lafaz qabul daripada pengantin lelaki sendiri iaitu Abu Samah bin Ab Halim, KPT: 680518-71-5337, responden, pada 3 Rabiul Akhir 1417 bersamaan 18 Ogos 1996. Lafaz ijab dan qabul itu berlangsung di dalam rumah Haji Wan Nawang bin Ngah, Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam di Kampong Banggol Cempedak, Serada, Kuala Terengganu.
Soalnya, pada 3 Rabiul Akhir 1417 bersamaan 18 Ogos 1996 layak atau tidak Haji Yusof bin Haji Ali, melafazkan lafaz ijab sebagai Wali Raja bagi akad nikah perkahwinan antara Khori bind Ahmad, pemohon, warga negara Kemboja dengan Abu Samah bin Ab Halim, KPT: 680518-71-5337, responden? Dalam menentukan layak atau tidak Haji Yusof bin Haji Ali melafazkan ijab nikah sebagai wali kepada Khori binti Ahmad, pemohon, pada 3 Rabiul Akhir 1417 bersamaan 18 Ogos 1996, mahkamah merujuk kepada hukum syarak. Di dalam kitab-kitab feqah seluruhnya menyatakan mereka yang menjadi wali itu adalah mereka yang mempunyai keturunan daripada nasab, ini bermakna ayah, jika tidak ada ayah, ayah kepada ayah, kemudian saudara lelaki seibu sebapa, kemudian saudara lelaki sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara sebapa dan seterusnya, sampailah akhirnya. Kemudian setelah tidak ada asobah dari nasab dan walaa, maka yang memegang kewalian adalah Kadi atau Naib Kadi sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; "Sultan adalah menjadi wali bagi wanita yang tidak mempunyai wali," dan yang dimaksudkan dengan Sultan di sini ialah mereka yang memegang kekuasaan kewalian baik imam dan Kadi maupun Naib-naib mereka. Perkara ini diperuntukkan di dalam kitab Iaanah al-Taalibin, juzuk 3, m.s. 314 ada disebut matan Fath al-Muin berbunyi:
[Jawi text omitted]
Yang bererti;
Setelah tidak ada lagi orang yang berhak menjadi wali mengikut tertib nasab (keturunan) atau tidak ada lagi orang yang memerdekakannya (jika pengantin perempuan itu asalnya adalah hamba kemudian dimerdekakan), maka yang berhak menjadi wali ketika itu ialah Kadi atau Naib Kadi menurut sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w., "al-Sultan adalah menjadi wali bagi wanita yang tidak ada wali." Yang dimaksudkan dengan al-Sultan di dalam sabda Rasulullah s.a.w. itu ialah sesiapa yang memegang kekuasaan kewalian sama ada Imam atau Kadi atau naib-naib mereka.
Di dalam kes ini Haji Yusof bin Haji Ali bukanlah wali nasab kepada Khori binti Ahmad, pemohon, kerana wali nasab kepada Khori binti Ahmad, pemohon, ialah saudara lelaki seibu sebapanya yang pada masa itu tinggal di negara Kemboja. Jadi adakah Haji Yusof bin Haji Ali itu yang melakukan lafaz ijab bagi Khori binti Ahmad sebagai Sultan atau Kadi.
Di sini timbul persoalan, siapakah yang dikatakan Sultan atau Kadi bagi seseorang wanita untuk menikahkannya dengan memakai Wali Sultan/Raja mengikut hukum syarak? Saya berpendapat yang dimaksudkan dengan Wali Sultan/Raja di sini ialah Sultan/Raja tempat tinggalnya perempuan itu semasa akad nikah itu dilangsungkan. Perkara ini telah diperuntukkan di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, juzuk 3 m.s. 157 yang menyebut:
[Jawi text omitted]
Yang bererti:
Andainya wali yang akrab ghaib, sama ada wali itu daripada nasab ataupun yang memerdekakan melebihi dua marhalah dan tidak ada wakilnya hadir di dalam majlis akadnikah itu, atau jarak jauh yang mengharuskan qasar sembahyang, maka perempuan itu hendaklah dikahwinkan oleh Sultan iaitu Sultan negeri perempuan itu berada semasa akadnikah itu dijalankan atau Naib Sultan tersebut, bukan Sultan negeri lain daripada negeri perempuan itu berada semasa akadnikah itu, dan tidak boleh diakadnikah oleh wali yang lebih jauh menurut tertib nasab kewalian pada pendapat yang asoh.
Tafsiran berkanun bagi "Wali Raja" mengikut sebagai mana yang diberi di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, (Terengganu) 1985, bererti seseorang yang diberi kuasa dengan Tauliah oleh Raja untuk menjadi wali dalam perkahwinan bagi mana-mana perempuan yang tidak mempunyai wali menurut hukum syarak. Di dalam tauliah perlantikan jurunikah (Tauliah Jurunikah), antaranya ada diperuntukkan:
... 2. Maka berkuasalah... pada menjalankan nikah kahwin dan hendaklah menyempurnakan dengan betul dan cermat bagaimana yang dikehendaki oleh hukum syarak serta menurut undang-undang dan peraturan yang berjalan kuat kuasa di dalam negeri ini mulai... selama tiada dibatal atau dimansuhkan tauliah ini.
Mengikut peruntukan hukum syarak dan undang-undang di atas, saya berpendapat Raja atau Sultan negeri Terengganu boleh mengarahkan seseorang faqih di dalam Negeri Terengganu menjadi Wali Raja ke atas perempuan-perempuan yang putus wali di dalam Negeri Terengganu itu secara istikhlaf dan melafazkannya. Perkara ini disebut di dalam kitab Iaanah al-Taalibin juzuk ketiga m.s. 323 berbunyi;
[Jawi text omitted]
Yang bererti;
Sekiranya seseorang Kadi itu hendak mewakilkan bidang kuasa walinya untuk menikahkan seseorang kepada seorang faqih (orang yang berpengetahuan luas dalam perundangan Islam), maka cara perwakilan itu, tidaklah memadai setakat Kadi itu menulis surat perwakilan semata-mata bahkan hendaklah juga dilafazkan kata-kata perwakilan bidang kuasa walinya itu kepada faqih berkenaan.
Saya berpendapat seorang faqih yang telah diistikhlaf dilafazkan istikhlafnya itu oleh Sultan bolehlah mengakadkan nikah seseorang perempuan yang putus walinya di dalam wilayah kekuasaannya dengan beberapa syarat. Antara syarat-syarat tersebut ialah:
(a) perempuan itu hendaklah telah baligh;
(b) perempuan itu hendaklah sekufu dengan bakal suami yang hendak dinikahkan itu;
(c) perempuan itu hendaklah berada di dalam kawasan kekuasaan istikhlaf si faqih tadi semasa akadnikahnya itu dilangsungkan;
(d) perempuan itu hendaklah terlebih dahulu memberi izin kepada si faqih berkenaan sebelum sighah berlaku.
Perkara-perkara tersebut ini telah diperuntukkan di dalam kitab Iaanah al-Taalibin, juzuk ketiga m.s. 314 yang menghuraikan matan Fath al-Muin berbunyi;
Yang bererti:
Kadi atau si faqih yang telah mendapat istikhlaf bolehlah mengahwinkan perempuan-perempuan yang putus walinya dengan lelaki yang sekufu dengannya, tidak boleh dengan lelaki yang tidak sekufu dengannya, dan perempuan itu telah baligh. Perkahwinan seperti ini hendaklah di mana sewaktu akadnikah diadakan perempuan tersebut berada di dalam kawasan kekuasaan Kadi itu sekalipun sekadar melalui kawasan itu walaupun semasa perempuan itu memberi keizinan untuk melangsungkan akadnikah itu kepada wali dia masih berada di luar kawasan kekuasaan Kadi. Adapun jikalau sewaktu dijalankan akadnikah perkahwinan, perempuan itu berada di luar kawasan kekuasaan Kadi, maka Kadi itu tidak boleh melakukan akadnikah perempuan itu walaupun dia telah memberi izin untuk dikahwinkan semasa dia berada di dalam kawasan kekuasaan Kadi, sekalipun calon suaminya berada di dalam kawasan kekuasaan Kadi, kerana Kadi itu berkait dengan perempuan bukan dengan calon suami.
Saya berpendapat di dalam permohonan ini, Khori binti Ahmad, pemohon, memohon untuk melangsungkan akad nikah perkahwinannya pada 3 Rabiul Akhir 1417 bersamaan 18 Ogos 1996 dengan Abu Samah bin Ab Halim, KPT: 680518-71-5337, responden, memakai Wali Raja iaitu Haji Yusof bin Haji Ali, oleh kerana beliau berpendapat beliau telah bermastautin di Kuala Terengganu dan jarak jauh antara tempat Khori berada yang juga tempat akad nikah hendak dilangsungkan adalah berjauhan dari tempat wali nasabnya berada sehingga melebihi jarak dua marhalah. Di dalam kitab Al-Fiqhul Islami wa Adillatuhu, oleh Dr. Wahbah al-Zuhaily, cetakan ketiga tahun 1409H/1989M, juzuk pertama, di m.s. 74 ada menyebut, satu marhalah ialah jarak sejauh dua belas jam perjalanan. Mengikut perkiraan; satu farsakh adalah sejauh 5544 meter iaitu kira-kira satu setengah jam perjalanan dengan berjalan kaki adalah sejauh tiga batu. Oleh yang demikian jarak dua marhalah ( 5544 x 2/3 x 2 x 12 ) ialah kira-kira 88704 meter, iaitu 88.704 kilometer. Manakala di m.s. 75 ada disebut jarak yang membolehkan qasar bagi orang bermusafir ialah 88.704 kilometer menurut lain-lain Mazhab kecuali Hanafi, kerana ulamak Hanafi berpendapat jarak yang membolehkan qasar bagi orang bermusafir ialah 96 kilometer.
Di dalam kes ini saudara lelaki seibu sebapa kepada Khori binti Ahmad, pemohon semasa akadnikah antara pemohon dengan responden dilangsungkan berada di negara Kemboja. Mengikut perkiraannya, jarak antara negara Kemboja dari rumah Haji Wan Nawang bin Ngah, Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam di Kampong Banggol Cempedak, Serada, Kuala Terengganu, tempat di mana akad nikah dilangsungkan adalah kira-kira 100 kilometer, melebihi jarak jauh dua marhalah atau jarak jauh musafatul qasr.
Mengikut huraian di atas dan keterangan dokumentar, iaitu Daftar Penolong Pendaftar dan Jurunikah, yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, saya berpuas hati bahawa pada masa akad nikah, Khori binti Ahmad, pemohon, dengan Abu Samah bin Ab Halim, KPT: 680518-71-5337, responden, pada 3 Rabiul Akhir 1417 bersamaan 18 Ogos 1996, Haji Yusof bin Haji Ali telah ditauliahkan sebagai Wali Raja di dalam Mukim Kepong dan Mukim Bukit Payong. Haji Yusof adalah layak mengakadkan nikah bagi perempuan yang mana walinya yang akrab ghaib, sama ada wali itu daripada nasab ataupun yang memerdekakan melebihi dua marhalah dan tidak ada wakilnya hadir di dalam majlis akadnikah itu, atau jarak jauh yang mengharuskan qasar sembahyang, di dalam kawasan yang ditauliahkan kepadanya mengikut hukum syarak dan undang-undang. Soalnya, boleh atau tidak, seorang Wali Raja mengakadkan nikah bagi perempuan yang mana walinya yang akrab ghaib, sama ada wali itu daripada nasab ataupun yang memerdekakannya, melebihi dua marhalah dan tidak ada wakilnya hadir di dalam majlis akadnikah itu, atau jarak jauh yang mengharuskan qasar sembahyang, di dalam kawasan yang ditauliahkan kepadanya tatakala kelulusan untuk pasangan itu berkahwin telah telah pun diperolehi yang mana telah diberi oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam?
Di dalam kes ini kebenaran untuk berkahwin bagi pasangan Khori binti Ahmad, pemohon, dengan Abu Samah bin Ab Halim, KPT: 680518-71-5337, responden, pada 3 Rabiul Akhir 1417 bersamaan 18 Ogos 1996, telah pun diberi oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Mukim Kepong. Dalam keadaan sedemikian, bolehkah seorang Wali Raja, di dalam kes ini Haji Yusof, terus melangsungkan akad nikah perkahwinan memakai wali Raja. Bagi menjawab soalan ini, saya rujuk kembali kepada peruntukan hukum syarak.
Di dalam kitab al-Qada fi al-Islam oleh Muhammad Salam Madkur, terbitan Matbaah al-Aalamiyah, Kaherah, 1964, pada m.s. 54, antara lain ada menyebut;
[Jawi text omitted]
yang bererti,
Bidangkuasa mengikut jenis kes ialah pemerintah mengkhususkan bidangkuasa ke atas seseorang hakim semasa perlantikan hakim itu atau selepas perlantikan dibuat dengan menentukan bahawa hakim itu mempunyai bidangkuasa tertentu sahaja seperti diberi bidangkuasa bagi mengendalikan undang-undang diri, undang-undang sivil, undang-undang perdagangan atau bagi undang-undang jenayah dan seumpamanya; oleh yang demikian hakim itu hanya berbidangkuasa bagi kes-kes yang dianya diberi bidangkuasa sahaja dan hakim itu tidak boleh melaksanakan bidangkuasa lain yang tidak diberi kepadanya.
Saya berpendapat, perlantikan seorang Wali Raja di dalam negeri ini adalah sama seperti perlantikan seorang hakim syarie dari segi boleh diperluaskan atau boleh dipersempitkan bidang kuasanya. Di dalam Tauliah Jurunikah bagi seseorang jurunikah bertauliah disyaratkan antaranya seperti berikut;
... 2. Maka berkuasalah ... pada menjalankan nikah kahwin dan hendaklah menyempurnakan dengan betul dan cermat bagaimana yang dikehendaki oleh hukum syarak serta menurut undang-undang dan peraturan yang berjalan kuat kuasa di dalam negeri ini mulai ... selama tiada dibatal atau dimansuhkan tauliah ini.
Di dalam tauliah perlantikan itu, seseorang Wali Raja disyaratkan supaya menyempurnakan kerja-kerja nikah kahwin dengan betul dan cermat, mengikut sebagaimana yang dikehendaki oleh hukum syarak dan undang-undang. Mengikut kehendak undang-undang, dalam satu-satu permohonan kebenaran untuk berkahwin yang mana jika perempuan tidak mempunyai wali dari nasab mengikut hukum syarak, maka Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam hendaklah merujukkan permohonan itu kepada hakim syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat perempuan itu bermastautin. Hakim syarie berkenaan apabila berpuas hati tentang kebenaran perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu dan tentang sahnya perkahwinan yang akan dicadangkan itu dan bahawa kes itu adalah kes yang memerlukan persetujuannya terhadap perkahwinan itu, pada bila-bila masa selepas permohonan itu dirujukkan kepadanya dan setelah dibayar fi yang ditetapkan, mengeluarkan kepada pemohon kebenarannya untuk berkahwin dalam borang yang ditetapkan. Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam, (Terengganu) 1985 memperuntukkan:
Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan melainkan suatu kebenaran berkahwin telah diberi:
(a) oleh Pendaftar di bawah seksyen 15 atau oleh hakim syarie di bawah seksyen 16, jika perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang bermastautin di Terengganu; atau
(b) ...
Seksyen 16 Enakmen yang sama memperuntukkan:
16 (1) Dalam mana-mana kes berikut, iaitu:
(a) jika salah satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu adalah di bawah umur yang dinyatakan dalam s. 7; atau
(b) jika pihak perempuan adalah seorang janda yang tersabit oleh s. 12(3); atau
(c) jika pihak perempuan tidak mempunyai wali dari nasab menurut hukum syarak,
maka pendaftar hendaklah, sebagai ganti bertindak di bawah s. 15, merujukkan permohonan itu kepada hakim syarie yang mempunyai bidangkuasa tempat perempuan itu bermastautin.
(2) Hakim syarie, apabila berpuas hati tentang kebenaran perkara-perkara yang disebut di dalam permohonan itu dan tentang sahnya perkahwinan yang dicadangkan itu dan bahawa kes itu adalah kes yang mewajarkan pemberian kebenaran bagi maksud s. 7, atau kebenaran bagi maksud s. 12(3), atau persetujuannya terhadap perkahwinan itu bagi maksud-maksud s. 11(b), mengikut mana yang berkenaan, hendaklah, pada bila-bila masa selepas permohonan itu dirujukkan kepadanya dan setelah dibayar fee yang ditetapkan, mengeluarkan kepada pemohon kebenarannya untuk berkahwin dalam borang yang ditetapkan.
Seksyen 11 Enakmen yang sama memperuntukkan:
Sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu telah bersetuju terhadapnya, dan sama ada:
(a) ...
(b) Hakim syarie yang mempunyai bidangkuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh hakim syarie itu telah, selepas penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu sebagai wali Raja mengikut hukum syarak, persetujuan tersebut boleh diberi jika wali tidak dapat dikesan atau enggan memberi persetujuannya tanpa sebab yang cukup.
Peruntukan undang-undang di atas pada pendapat saya adalah seiring dengan pendapat hukum syarak sebagaimana disebut oleh Abu al-Hasan Ali bin Muhammad bin Habib al-Basri al-Baghdadi al-Mawardi, meninggal dunia dalam tahun 450 Hijriyah, di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultoniyah, Syarikat Maktabah wa Matbaah Mustofa al-Bab al-Halabi wa Auladuh, Masir, cetakan pertama 1327H/1909M, pada m.s. 70 menyebut;
[Jawi text omitted]
yang bererti;
Seorang Kadi mempunyai dua bidang tugas iaitu umum dan khusus. Jika sekiranya bidang tugas umum, maka kadi itu berbidang kuasa dalam semua perkara yang terkandung di dalamnya, dan dapat disimpulkan dalam sepuluh kategori, iaitu ... keenamnya ialah mengahwinkan para janda dengan orang-orang yang sekufu dengannya, jika mereka tidak mempunyai wali dan janda-janda itu diajak untuk dikahwini
Soalnya, di dalam akadnikah perkahwinan antara pemohon, Khori binti Ahmad, warga negara Kemboja dengan Abu Samah bin Ab Halim, KPT: 680518-71-5337, yang telah pun dilangsungkan pada 3 Rabiul Akhir 1417 bersamaan 18 Ogos 1996, yang mana akadnikah perkahwinan itu telah dilakukan oleh jurunikah bertauliah, Haji Yusof bin Ali, K/P: 2637398, memakai Wali Raja, dan telah diadakan di Kampong Banggol Cempedak, Serada, Kuala Terengganu, itu telah tidak mengikut kehendak-kehendak undang-undang yang tersebut itu. Akad nikah ini hanya setakat mendapat kebenaran berkahwin daripada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam sahaja. Oleh yang demikian saya berpuas hati bahawa akadnikah perkahwinan antara pemohon, Khori binti Ahmad, warga negara Kemboja dengan Abu Samah bin Ab Halim, KPT: 680518-71-5337, yang telah pun dilangsungkan pada 3 Rabiul Akhir 1417 bersamaan 18 Ogos 1996, yang mana akadnikah perkahwinan itu telah dilakukan oleh jurunikah bertauliah, Haji Yusof bin Ali, K/P: 2637398, memakai Wali Raja, dan telah diadakan di Kampong Banggol Cempedak, Serada, Kuala Terengganu, adalah akadnikah yang tidak menurut bidang kuasa Wali Raja sebagaimana diperuntukkan di dalam Tauliah Jurunikah. Sekaligus akadnikah perkahwinan ini bertentangan dengan kehendak hukum syarak.
Saya berpuas hati bahawa akadnikah perkahwinan antara pemohon, Khori binti Ahmad, warga negara Kemboja dengan Abu Samah bin Ab Halim, KPT: 680518-71-5337, yang telah pun dilangsungkan pada 3 Rabiul Akhir 1417 bersamaan 18 Ogos 1996, yang mana akadnikah perkahwinan itu telah dilakukan oleh jurunikah bertauliah, Haji Yusof bin Ali, K/P: 2637398, memakai Wali Raja, dan telah diadakan di Kampong Banggol Cempedak, Serada, Kuala Terengganu, adalah suatu akadnikah yang fasid menurut hukum syarak, dan merupakan suatu akadnikah yang tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam, (Terengganu), 1985. Bila saya berpendapat sedemikian, akibatnya, pasangan ini tidak boleh lagi hidup bersama sebagai suami isteri melainkan melalui satu akadnikah perkahwinan yang baru. Pemohon, Khori binti Ahmad, di dalam kes ini hendaklah beriddah mulai sekarang dengan iddah mengandung dalam bain sughra.
Setelah saya berpendapat sedemikian, kedua-dua pemohon dan responden memohon supaya mereka dibenarkan hidup sebagai suami isteri juga iaitu melalui akadnikah perkahwinan yang baru. Mengenai perkara ini, saya berpendapat Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Daerah Kuala Terengganu hendaklah memproses borang permohonan pasangan ini dalam kadar bersegera jua. Setelah itu diambil perjalanan mengikut peruntukan s. 16 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu), 1985.
KEPUTUSAN
Saya sabit akadnikah perkahwinan antara Khori binti Ahmad, Pemohon, warga negara Kemboja dengan Abu Samah bin Ab Halim, KPT: 680518-71-5337, yang telah pun dilangsungkan pada 3 Rabiul Akhir 1417 bersamaan 18 Ogos 1996, yang mana akadnikah perkahwinan itu telah dilakukan oleh jurunikah bertauliah, Haji Yusof bin Ali, K/P: 2637398, memakai wali Raja, dan telah diadakan di Kampong Banggol Cempedak, Serada, Kuala Terengganu, adalah suatu akadnikah yang fasid menurut hukum syarak, dan merupakan suatu akadnikah yang tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam, (Terengganu), 1985;
Saya perintah Khori binti Ahmad, pemohon, hendaklah beriddah dengan iddah mengandung dalam bain sughra mulai hari ini, Khamis, 22 Safar 1424 bersamaan 24 April 2003; DAN
Saya perintah Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Daerah Kuala Terengganu memproses borang permohonan kebenaran untuk berkahwin bagi pasangan ini dalam kadar bersegera jua, dan setelah itu diambil perjalanan mengikut peruntukan s. 16 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu), 1985.
* * * *
Perundangan yang dirujuk:
Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001, s. 11(3)(b)
Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 [Terengganu], ss. 7, 11, (b), 12(3),
15, 16, 17
Surah-Surah al-Quran yang dirujuk:
Al-Rum, ayat 21
Kitab-Kitab yang dirujuk:
Al-Ahkam al-Sultoniyah
Al-Fiqhul Islami Adillatuhu
Al-Qada fil Islam
Bujairimi ala al-Khatib
Iaanah al-Talibin
Mughni al-Muhtaj
Sunan Abi Daud