Forgot/Reset Password

CASE(S) OF THE WEEK

UNDANG-UNDANG JENAYAH: Kanun Keseksaan - Seksyen 395 - Rompakan berkumpulan - Faktor-faktor yang dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman - Faktor peningkatan kes-kes rompakan berkumpulan - Sama ada kesalahan serius - Sama ada hukuman berat atau tempoh penjara yang panjang wajar

PROSEDUR JENAYAH: Hukuman - Rayuan - Kesalahan rompakan berkumpulan - Faktor-faktor yang dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman - Sama ada kepentingan awam pertimbangan utama - Faktor peningkatan kes-kes rompakan berkumpulan - Sama ada hukuman perlu berbentuk `deterrent' - Sama ada rekod kesalahan lampau tertuduh perlu diambil kira - Sama ada gangguan dari segi mental dan kehilangan harta benda mangsa dipertimbangkan - Sama ada hukuman setimpal dengan kesalahan


PP lwn. ALAM SHAH HJ MOHAMAD
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, KUANTAN
AB KARIM AB RAHMAN PK
[RAYUAN JENAYAH NO: 42H-4-3-2013]
25 MAC 2014

Responden telah dituduh di bawah s. 395 Kanun Keseksaan (`Kanun') kerana melakukan satu rompakan berkumpulan. Responden bersama-sama dengan empat orang yang lain, yang masih bebas, telah memasuki rumah mangsa pada waktu malam. Salah seorang daripada mereka telah mengacukan pisau kepada mangsa sementara yang lain menyelongkar almari dan tempat simpanan barangan berharga milik mangsa dan isterinya. Hasil daripada siasatan yang dijalankan, responden telah ditangkap. Di Mahkamah Sesyen, responden telah menukar pengakuannya kepada bersalah setelah Hakim Mahkamah Sesyen (`HMS') memanggil responden untuk membela diri atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. Oleh itu, HMS telah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua kali sebatan terhadap responden. Pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati, merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada responden atas alasan, antara lain, bahawa (i) hukuman yang dikenakan adalah tidak setimpal dan berpadanan; dan (ii) HMS telah gagal mempertimbangkan faktor-faktor yang sewajarnya dalam menjatuhkan hukuman.

Diputuskan (membenarkan rayuan; menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan lima kali sebatan):

(1) Sebelum mengganggu sesuatu hukuman, mahkamah yang melaksanakan bidangkuasa rayuan perlu mempertimbangkan, berdasarkan fakta dan hal keadaan kes, sama ada hukuman yang dikenakan oleh mahkamah bawahan adalah salah dari segi undang-undang atau terlalu berlebihan atau tidak mencukupi. Pertimbangan utama dalam menilai hukuman adalah soal kepentingan awam. Dalam kes ini, HMS telah kurang mempertimbangkan soal kepentingan awam dan dengan itu telah khilaf. (perenggan 10 & 13)

(2) Kesalahan rompakan secara berkumpulan merupakan kesalahan serius dalam negara ini yang melibatkan kehilangan harta benda dan keselamatan tubuh badan. Mahkamah harus mengambil `judicial notice' tentang peningkatan kes-kes rompakan berkumpulan dalam bangunan. Dengan itu, hukuman yang dikenakan harus berbentuk `deterrent' supaya memberikan pengajaran kepada orang lain. Hukuman berat atau tempoh hukuman penjara yang panjang akan memberikan keadilan kepada masyarakat awam. Pada masa yang sama, ia akan memberi amaran dan ingatan kepada mereka yang berniat untuk melakukan kesalahan yang serupa. (perenggan 14-16)

(3) Responden mempunyai banyak rekod kesalahan lampau, antara lain, samun yang menyebabkan kecederaan di bawah s. 394/397 Kanun, merompak dan menyebabkan kecederaan parah di bawah s. 392/395 Kanun dan juga kesalahan di bawah ss. 15(1)(a) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dalam setiap kesalahan tersebut, responden dikenakan hukuman penjara dan sebatan. Faktor latar belakang responden dan faktor ketidakinsafannya harus dipertimbangkan dengan sewajarnya dalam mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada responden dan juga orang lain. (perenggan 20 & 21)

(4) Hukuman yang dikenakan kepada responden haruslah sesuai dan selaras dengan gangguan dari segi mental dan kehilangan harta benda yang dialami oleh mangsa. Memandangkan responden telah mengacukan pisau dan mengugut mangsa dan mengambil kira jumlah harta yang hilang, responden tidak sepatutnya dilayan dengan hukuman yang ringan. Mahkamah, oleh itu, mendapati bahawa hukuman yang dijatuhkan tidak setimpal dan tidak mencukupi. Hukuman yang sesuai adalah 16 tahun penjara dan lima kali sebatan. (perenggan 22 & 23)

Kes-kes yang dirujuk:

Abdul Rahman Ibrahim v. The Public Prosecutor of Johore [1938] 1 LNS 3 HC (dirujuk)

Deputy Public Prosecutor v. Isaac Elion [1949] 1 LNS 17 HC (dirujuk)

Ong Lai Kim & Ors v. PP [1991] 2 CLJ 1568; [1991] 3 CLJ (Rep) 376 HC (dirujuk)

PP v. Darmalingam R Kandiah [1988] 1 CLJ 840; [1988] 2 CLJ (Rep) 227 HC (dirujuk)

PP v. Loo Choon Fatt [1976] 1 LNS 102 HC (dirujuk)

PP v. Rajandran & Anor [1985] 1 LNS 30 HC (dirujuk)

PP v. Wong Chak Heng [1985] 1 CLJ 375; [1985] CLJ (Rep) 717 HC (dirujuk)

R v. Ball (1951) 35 Cr App R 164 (dirujuk)

Radin Ibrahim Gusti Yassar v. PP [1988] 1 LNS 73 HC (dirujuk)

Reg v. Smith (1978) 67 Cr App R 211 (dirujuk)

Perundangan yang dirujuk:

Dangerous Drugs Act 1952, ss. 12(2), 15(1)(a)

Penal Code, ss. 392, 394, 395, 397, 457

Kaunsel:

Bagi pihak perayu - Hadir sendiri

Bagi pihak pendakwaan - Amer Abu Bakar Abdullah; TPR

[Rayuan dari Mahkamah Sesyen, Kuantan; Kes Jenayah No: 62-2-01-2012]

Dilaporkan oleh S Barathi

Secured By Global Sign