YAA Tan Sri Dato' Seri Md Raus Sharif
Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan Malaysia
KMN, DMPN, SSTM, PSM, PMN, SDDK, SSAP, DA

PROFILE
YAA Tan Sri Dato’ Seri Md Raus Sharif dilahirkan pada 4 Februari 1951 di Rembau, Negeri Sembilan.

YAA telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Astana Raja, Rembau, Negeri Sembilan sebelum meneruskan pengajian ke Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin. YAA menamatkan pengajian tingkatan enam Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), lpoh, Perak.

YAA Tan Sri Dato’ Seri Md Raus Sharif memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada tahun 1976. Beliau adalah daripada kumpulan pertama pelajar jurusan undang-undang dari Universiti Malaya. Pada tahun 1987, YAA memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang daripada London School of Economics.

YAA Tan Sri Dato’ Seri Md Raus Sharif telah memulakan kerjaya awal beliau pada tahun 1976 sebagai pegawai undang-undang sangkut (an attachment legal officer) di Mahkamah Majistret Court Hill dan kemudiannya di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Selepas beberapa bulan, YAA telah dilantik sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Pontian, Johor. Di dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, YAA telah memegang pelbagai jawatan antaranya, sebagai Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya di Negeri Kelantan dan Terengganu, Penasihat Undang-Undang di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri , Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Penasihat Undang-Undang di Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam, Penasihat Undang-Undang di Kementerian Pertahanan, Penasihat Undang-Undang di Kementerian Dalam Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan dan Peguam Cara Perbendaharaan di Kementerian Kewangan, sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 November 1994. Semasa menjawat jawatan Pesuruhjaya Kehakiman YAA telah ditugaskan mendengar dan memutuskan kes-kes jenayah di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor yang bersidang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada 12 Januari 1996, YAA telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi. Semasa menjawat jawatan Hakim Mahkamah Tinggi, YAA telah bertugas di Shah Alam, Muar, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Semasa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,YAA bertugas di Bahagian Dagang, Bahagian Sivil (Mahkamah Keluarga) dan Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas. Pada 28 Julai 2008, YAA telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan kemudiannya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 14 Oktober 2009. 

Pada 12 September 2011, YAA telah dilantik memegang jawatan Presiden Mahkamah Rayuan. Sebagai menghargai jasa-jasa yang telah YAA sumbangkan kepada negara, YAA Tan Sri Dato’ Seri Md Raus Sharif telah dianugerahkan dengan beberapa gelaran iaitu Kesatria Mangku Negara (KMN) pada 1994, Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) pada tahun 2000,Darjah Seri Setia Tuanku Mukriz Yang Amat Terbilang (SSTM) pada tahun 2010, Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) pada tahun 2011, Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) pada tahun 2012 dan pada tahun 2016, sebanyak tiga anugerah diterima oleh YAA iaitu, Darjah Kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK), Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) dan Darjah Kebesaran Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA).

 YAA berkahwin dengan Yang Berbahagia Puan Sri Dato’ Indera Salwany Mohamed Zamri. YAA dikurniai dengan dua orang cahaya mata.

Alamat

Kamar Ketua Hakim Negara,
Mahkamah Persekutuan Malaysia,
Aras 5 Utara, Istana Kehakiman,
Presint 3,
62506 PUTRAJAYA

 +603 8880 3502 +603 8880 3507 cj@kehakiman.gov.my