Y.A.A. Tan Sri Zaharah Binti Ibrahim
Hakim Besar Malaya
PSM, PJN, DPMS, SMS, KMN

Yang Amat Arif Tan Sri Zaharah binti Ibrahim telah dilahirkan pada tanggal 17 November 1952 di Johor Bahru, Johor. Yang Amat Arif Tan Sri telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar Pontian, Johor. Yang Amat Arif Tan Sri kemudian meneruskan pengajian menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru sehingga tamat tingkatan enam. Yang Amat Arif Tan Sri kemudian menyambung pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) pada tahun 1977.

Kerjaya Yang Amat Arif Tan Sri dalam bidang perundangan bermula pada 26 April 1977 sebagai Pegawai Undang-Undang (Sangkut). Yang Amat Arif Tan Sri kemudiannya dilantik ke dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dan menjawat jawatan Majistret Melaka Tengah dan Majistret Litar di Alor Gajah, Jasin, Masjid Tanah dan Merlimau. Yang Amat Arif Tan Sri telah menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan Penggubal Undang-Undang Parlimen bermula dari 01 Januari 1981 sehingga 15 Februari 1992 di Seksyen Bahasa Inggeris dan Seksyen Bahasa Kebangsaan di Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara.

Yang Amat Arif Tan Sri kemudian telah dilantik sebagai Pengarah Bahagian Harta Intelek (Merangkap Pendaftar Paten Dan Cap Dagangan), di Bahagian Harta Intelek, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna pada 16 Februari 1992 sehingga 15 Julai 1992.

Yang Amat Arif Tan Sri kemudian telah bertugas di Ibu Pejabat Jabatan Peguam Negara sebagai sebagai Timbalan Penggubal Undang-Undang Parlimen (II) di Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara pada 16 Julai 1992 sehingga 31 Mac 1994. Pada 1 April 1994, Yang Amat Arif Tan Sri telah dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang, Negeri Selangor sehingga 15 Mei 1996.

Pada 16 Jun 1996, Yang Amat Arif Tan Sri kembali bertugas di Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara, menjawat jawatan sebagai Timbalan Penggubal Undang-Undang Parlimen (I) sehingga 31 Julai 1996. Pada 1 Ogos 1996, Yang Arif Tan Sri telah dilantik sebagai Penggubal Undang-Undang Parlimen sehingga 31 Julai 2004 yang merupakan jawatan terakhir Yang Amat Arif Tan Sri dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Tanggal 01 Ogos 2004, Yang Amat Arif Tan Sri telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya dan telah memulakan perkhidmatan sebagai hakim mahkamah atasan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam. Pada 28 Julai 2006, Yang Amat Arif Tan Sri telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan telah menyambung perkhidmatan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Pada 14 April 2010, Yang Amat Arif Tan Sri telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan. Pada 16 Februari 2015, Yang Amat Arif Tan Sri telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Pada 11 Julai 2018, Yang Amat Arif Tan Sri telah dilantik secara rasminya sebagai Hakim Besar Malaya.

ADDRESS

Chief Judge of Malaya,
Chief Judge's Chambers
Federal Court of Malaysia
Level 5 Southern, Palace of Justice
Precint 3
62506 PUTRAJAYA

   +603 8880 3552      +603 8880 3556      cjm@kehakiman.gov.my